My Blog List

Sunday, January 16, 2011

Komunikasi Islam

Komunikasi Islam merupakan komunikasi yang berasaskan nilai-nilai keagamaan dan terjamin kebenarannya serta membawa keselamatan dalam kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Ini kerana segala sesuatu yang berhubungan dengan proses komunikasi sama ada prinsip, kaedah,, mesej, matlamat. media, hendaklah berasaskan panduan wahyu dan sunnah Rasulullah S.A.W. Amalan komunikasi tersebut dikira ibadah dalam kehidupan umat Islam.

Firman Allah S.W.T. bermaksud:

"Telah kami turunkan kepadamu Al-Kitab, untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang berserah diri kepada Allah"

                                                                                                                                   (Al-Nahl:89)

KOMUNIKASI ISLAM

Pengertian komunikasi menurut Islam ialah proses menyampaikan utusan kepada seseorang atau masyarakat untuk dijadikan milik bersama tentang maklumat, pengetahuan, kemahiran, sikap dan kepercayaan berlandaskan syariat Islam.

Dengan pengertian tersebut menunjukkan bahawa aktiviti berkomunikasi merupakan proses pemindahan, penyampaian, penyeruan dan perkongsian idea, pendapat gagasan, ajaran agama terhadap seseorang untuk melaksanakan amal ma'ruf nahi mungkar.

Berdasarkan definisi tersebut menunjukkan komunikasi Islam merupakan komunikasi yang berasaskan bimbingan wahyu dan Sunnah Rasulullah S.A.W. atau dengan kata lain:


  1. Al-Quran sebagai ajaran komunikasi.
  2. As-Sunnah sebagai Amali atau praktikal atau model operasi.
  3. Ulamak-ulamak merupakan penerus pengembangan model komunikasi Rasulullah S.A.W. dan Al-Quran dari masa ke masa melalui proses ijtihad dan prinsip dalil qat'ie.

MATLAMAT KOMUNIKASI ISLAM

  1. Memberitahu
          Islam memaklumkan kepada sesebuah masyarakat tentang ajaran-ajaran yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah iaitu pada umumnya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah, syariah dan akhlak. Tujuan lain ialah menghebahkan kepada umat manusia tentang ajaran Islam ini membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

     2. Menerangkan

         Islam juga memberi penjelasan secara terperinci mengenai Al-Quran dan As-Sunnah supaya ia dapat difahami oleh semua golongan masyarakat. Selain itu, komunikasi Islam juga sangat perlu bagi menyampaikan dakwah Islam,  serta menunjukkan cara-cara melakukan ibadah-ibadah khusus serta yang berkaitan dengan pantang larang Islam.

      3. Member kefahaman

         Memperjelaskan tentang ajaran Islam agar ianya boleh difahami oleh umat Islam. Kefahaman ini meibatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang ilmu Islam serta kehidupan secara Islam dan mengambil Islam sebagai "the way of life" (AdDin)

      4. Memberi ilmu

          Komunikasi dakwah sangat diperlukan untuk menyampaikan pelbagai ilmu pengetahuan terdiri daripada ilmu aqli dan ilmu naqli. Ilmu aqli merupakan ilmu pemikiran manakala ilmu naqli pula ialah ilmu wahyu. Ilmu Islam yang wajib diketahui oleh umat Islam ialah fardhu ain dan fardhu kifayah dengan tujuan umat manusia dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

       5. Memberi petunjuk

           Komunikasi Islam bertindak untuk menajar individu dalam masyarakat bagaimana cara-cara yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam melaksanakan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Ia juga bermaksud memberi panduan atau mengarahkan jalan kehidupan yang benar yang diredhai Allah SWT. Contoh mudah yang senang didapati ialah ujian dalam kehidupan. Ini bermaksud ujian itu sebagai petunjuk dan petanda supaya manusia sentiasa mentaati Allah SWT.

       6. Menyeru kepada kebajikan

           Komunikasi itu sendiri digunakan untuk mengajak atau mengimbau manusia untuk melakukan perkara-perkara yang berbentuk kebajikan dalam kehidupan. Melalui proses ini, masyarakat dapat meningkatkan kesedaran terutama golongan kaya dan berpengetahuan tinggi supaya timbul perasaan dalam diri mereka terhadap tanggungjawab sosial. Bagi melaksanakan tanggungjawab kebajikan tersebut diperlukan kesedaran, harta benda, pengetahuan, perhubungan yang berteraskan agama dan pengurusan yang baik.

         7. Mengurus pemerintahan dan pentadbiran ( Memerintah dan Mentadbir)

             Melaksanakan pemerintahan dan mengurus pentadbiran yang baik mestilah melalui jalinan komunikasi yang berkesan antara pemerintah dan pentadbir dengan pihak yang diperintah dan kakitangan. Fungsi komunikasi itu sendiri adalah untuk menimbulkan hubungan yang harmoni di kalangan berbagai pihak dan menimbulkan sikap kepuasan bekerja dalam kalangan kakitangan.

          8. Memberi hikmah

              Hikmah bermakna suatu kebijaksanaan atau suatu kebenaran. Tindakan-tindakan yang berbentuk hikmah atau kebijaksanaan memerlukan pemahaman dalam kalangan semua pihak dan untuk meberi pemahaman memerlukan saluran komunikasi yang berkesan. Mencegah perkara-perkara kecil sebelum terjadi perkara-perkara besar adalah contoh hikmah yang perlukan pemahaman sebab musabab. Dalam peribahasa Melayu, tindakan berhikmah diumpamakan seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

          9. Menyampaikan khabar gembira dan memberi peringatan

               Antara berita gembira yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah: 

  • Balasan syurga kepada umat yang patuh kepada ajaran agama.
  • Pahala yang berlipat ganda kepada orang yang beribadah di bulan Ramadhan dan di hari mulia.
  • Kesediaan Allah untuk mengampuni dosa umatnya yang bertaubat dengan taubat nasuha.
  • Kelebihan mati syahid dan lain-lain

                 Peringatan yang dimaksudkan ialah perkara-perkara yang berbentuk amaran dari Allah SWT terhadap umatnya yang lalai atau melanggar ajaran-ajaran agama: 

  • Balasan azab neraka kepada orang-orang yang melanggar hukum-hukum agama.
  • Azab kubur dan seksaan Mahsyar terhadap orang-orang yang mati dengan membawa dosa.
  • Kutukkan Allah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman di atas muka bumi.
                 Tujuan pengkhabaran perkara-perkara tersebut terhadap umat manusia adalah untuk mendorong manusia supaya dapat melakukan kebaikan-kebaikan dalam kehidupan dan untuk mengawal dan mencegah umat manusia daripada melanggar perintah Allah SWT daripada melakukan kezaliman di ats muka bumi.